Thursday, May 10, 2007

Sekolah itu ada hantu!


Esok merupakan hari pertama bagi si kecil ini ke sekolah rendah. Dia agak gelisah kerana pada asalnya dia mahukan sekolah yang lain agar dapat ke sekolah yang sama dengan rakan-rakan sekampungnya. Tetapi hajatnya tidak kesampaian. Esoknya tiba dan hari pertamanya di sekolah rendah itu bermula agak baik. Walaupun si kecil ini rasa keseorangan tetapi dia berjaya untuk mengharungi hari pertama di sekolah dengan jayanya. Pulangnya dari sekolah perasaannya tiba menjadi keliru, perasaannya untuk ke sekolah terkubur sama sekali. Di beritahu kepada ibunya dia tidak mahu ke sekolah lagi.


Esok kembali lagi, si kecil tetap harus ke sekolah. Ibu bersama teman-teman si ibu menghantar si kecil ini ke sekolah. Setibanya di sekolah, perasaan keliru dan memberontak timbul di benak fikiran si kecil in. Bermulalah episod baru dalam hidup si kecil ini, dia tidak mahu keluar dari pintu kereta si ibu, dipaksa akan si ibu, si kecil tetap berdegil, ditepis tangan si ibu sambil menjerit tidak mahu.

"Tak nak! Tak nak! Nak balik!"

Airmata si kecil mula bercucuran laju seperti hujan, hanya tidak disambut dengan kilat sabung menyabung. Dipaksa juga akan si ibu untuk turun. Dengan kudrat si ibu, lalu diangkat akan si kecil ke bilik darjah. Meronta-ronta si kecil, ditumbuk terajang akan si ibu. Di depan pintu bilik darjah, ibu meleraikan dukungan akan si kecil. Bagai bayangan Rabuan Pit menguasai perasaannya, si kecil terus berlari ke bilik dalam darjah dan hala tujunya ke tingkap bilik darjah. Zaman itu tingkapnya, seperti pintu. Lalu si kecil melompat sambil menangis ke atas meja dan seterusnya terjun dari tingkap keluar bilik darjah. Dia berjaya mendarat dengan jaya, dipandang kiri dan kanan,

"Ahh nak pegi mana ni?"

Terkejut bukan kepalang akan si ibu dan dan temannya, Guru kelas dan murid-muridnya terpinga-pinga melihat perlakuan si kecil ini. Si kecil tadi dengan tidak teragak-agak berlari melulu ke pintu pagar sekolah. Berada ada dia kini diluar sekolah terpinga-pinga tidak tahu apa yang mahu dia lakukan.

"Nak balik macam mane ni? Takkan nak naik bas. Aku datang dengan mak aku. Ahh! Nak balik!"

Si ibu mengekori si kecil tadi ke pintu pagar sekolah. Ditengking akan si kecil supaya masuk ke kawasan sekolah semua. Si kecil tetap berdegil tidak mahu menuruti perintah si ibu. Dipujuk akan si ibu berpuluh-puluh kali supaya kembali ke bilik darjah. Cubaan ibu gagal. Terpaksa akur, di bawa pulang si kecil ke rumah. Di rumah dipujuk lagi, si kecil akhirnya bersetuju dengan syarat mesti ada yang menemaninya di sekolah. Yang menjadi mangsanya adalah kakak ke-4 si kecil. Terpaksalah si kakak menemani si kecil di sekolah pada setiap hari selama sebulan. Dasyat yang amat! Si ibu mengambil keputusan untuk menukar si kecil ke sekolah yang baru, ke sekolah yang sama dengan anak jirannya. Gembira bukan kepalang akan si kecil kerana memikirkan akan ada teman di sekolah barunya nanti. Lebih-lebih lagi bersekolah sama dengan teman sekampungnya.


Tetapi......di sekolah yang baru tetap sama perangai akan si kecil ini, tetap tidak mahu dan menangis apabila dihantar ke sekolah. Apa yang difikirkan akan si kecil ini tidak siapa yang tahu. Dia tetap takut untuk ke sekolah. Alasannya tidak mahu ditinggalkan ibu. Kisah berikutnya yang terjadi hanya terjadi di layar perak yang dilakunkan oleh pelakon terkenal zaman si kecil ini. Sepertu di dalam filem Gila-Gila Remaja dengan Azroynya dan Sembilu dengan Awienya. Ketika si kecil dihantar ke sekolah, hujan turun dengan lebatnya. Si ibu menghantar si kecil hingga ke pintu bilik darjah. Si kecil terpaksa akur dan masuk ke ke dalam. Hanya selepas meletak beg sekolahnya dan dipusingkan kepala dan terpandang akan si ibu sudah memasuki kereta untuk pulang, perasaan tidak keruan menguasai diri si kecil ini. Dia menggila lagi, dicampak beg sekolah dan berlari keluar sekuat hati mengejar si ibu di dalam hujan yang lebat! Memang seperti di layar perak, seperti gadis mengejar kekasihnya. Ibarat si kecil ini seperti Erra Fazira dan si ibu Awienya. Lariannya si kecil tidak terhenti, dikejar lagi ibunya ke jalanraya luar kawasan sekolah, malangnya ibunya tidak perasan akan situasi itu. Berlalulah si ibu, dan si kecil itu akhirnya diberkas oleh pakcik sekuriti sekolah itu. Macam penjenayah buruan pula.


Berlangsunglah situasi begini selama hampir 2 tahun lebih adanya. Hingga diakhir tahun 2, si kecil mula menunjukkan perubahan, dan dia sudah mula menerima untuk berada di sekolah. Kejadian ini berlaku pada tahun 1987 kalau tidak silap saya. atau 1988. Si kecil itu tadi adalah diri saya sendiri. Saya juga sendiri tidak tahu apa yang saya fikirkan ketika itu, tetapi ianya satu pengajaran dan kenangan untuk saya simpan dan kini untuk saya kongsi 'kisah gila' zaman kanak-kanak dahulu.