Saturday, May 5, 2007

Introduction

Tahunnya 1981, Lokasi di Taman Tasik Johor Bahru.


Seorang wanita sedang sibuk memasak menanti kepulangan suaminya dari kerja. Anak sulungnya Nuziah sedang sibuk mengemas kelengkapan untuk ke Kuala Lumpur keesokan harinya. Nuziah atau Nuzi panggilan pendeknya akan menyambung pelajarannya ke Institut Teknologi Mara (kini UiTM) di Shah Alam dalam jurusan Perhotelan & Pelancungan. Adik-adiknya yang lain ada di bawah menonton peti telivisyen. 4 orang kesemuanya dan keempat empatnya perempuan hendaknya. Hazelin, Rafidah, Bariah dan Hasifah Fauziah. Oh tertinggal yang seorang lagi yang paling bongsu, Yusof. Dia masih belum pulang dari sekolah. Biasanya akan pulang bersama si ayah pada petang hari.


Zahrah si ibu memanggil anak-anaknya ke meja makan. Dalam waktu begini, si suami akan pulang bersama anak bongsunya. Dalam masa menunggu kepulangan si suami. dia duduk berehat seketika sambil mengusap-usap perutnya yang membesar hanya menunggu masa seperti kata doktor untuk tiba masanya. Keluarga Zahrah dan Ishak akan menerima seorang lagi ahli keluarga yang baru. Ianya memang diluar jangkaan mereka. Bagi mereka 6 orang bakal peneraju negara yang mereka bimbing sudah cukup untuk keluarga mereka. (Alhamdulillah 6 orang yang dikatakan itu, kini berjaya dalam bidang masing-masing. Tidak seorang pon mengikut jejak mereka aktif dalam politik). Tapi tanpa diduga, mereka akan dikurniakan lagi seorang penyeri dalam teratak mereka. 7 tahun bezanya dari yang akhir ini dengan si abangnya Yusof. "Jadilah orang yang berguna bila kamu besar nanti dan ingat, jangan kamu berlaku tidak adil pada abang dan kakak-kakak kamu. Dan jangan sesekali kamu membuat yang tidak elok kepada orang lain. Biar kamu dibuat orang tetapi jangan sesekali kamu membuat orang". Sempat si ibu berbisik kepada si kecik dalam kandungannya. Lamunan Zahrah dihentikan dengan panggilan Lin, puterinya yang kedua mengajak si ibu untuk menyenduk nasi kerana si ayah dan si bongsu sudah pun balik.


Dalam pada masa si ibu cuba untuk bangun dari kerusinya, sesuatu yang dijangka berlaku pada dirinya. Dalam hatinya berkata, masanya telah tiba. Menjerit si ibu memanggil si suami dan anak-anak agar segera membawanya ke hospital. Kelam kabut seketika teratak Encik Ishak Talib melihat keadaan si ibu. Hidangan malam belum sempat di jamah, mereka sekeluarga bergegas ke Hospital Sultanah Aminah, berhadapan pantai lido. (Sehingga hari ni, hospital itu masih kelihatan seperti dulu, tidak banyak bezanya) Setibanya di sana, Zahrah disambut jururawat yang bertugas. Ishak dan anak-anak menunggu di luar dengan penuh sabar. Si sulung, Nuzi kelihatan paling gelisah. Esok dia harus ke Kuala Lumpur untuk mendaftar pengajiannya. Dia mahu ibunya selamat dari segala malapetaka. Serba salah jadinya untuk dia ke Kuala Lumpur esok. Mujur si ayah menenangkan anaknya yang sulung itu agar tidak di serabutkan benak fikirannya. Jarang melihat si ayah, Ishak Talib ini berlakuan begini pada anak nya. Anaknya yang 6 kesemuanya sudah jelas dengan perwatakan ayah mereka, rambutnya yang putih lebat, kemas disikat ke belakang, bermisai tebal, berkaca mata. Sekali pandang memang kecut perut melihat wajah bengis si ayah. (memang saya tidak nafikan, wajahnya memang bengis, bekas pegetua sekolah hendaknya. Tapi hatinya baik). Perwatakan si ayah memang tidak banyak bercakap, dia lebih banyak berdiam diri dari mengeluarkan kata-kata yang tidak perlu darinya. Biasanya di rumah, kalau hendak dengar suaranya. Beranikan saja diri membuat bende yang tidak elok. Bangunlah lewat pagi kalau hati itu dah sekeras batu. Jika tak ditengking oleh Encik Ishak memang ajaib lah gamaknya hari itu. Memang 6 beradik ini hormat dan dalam masa yang sama takut akan si ayah. Gelombang fikiran Nuzi dihentikan dengan kedatangan doktor. Ishak bertanya akan perkembangan isterinya. Doktor mengatakan si isteri tidak boleh melahirkan secara normal. Anaknya yang terakhir ini lain dari abang dan kakak-kakaknya. Elok sahaja yang sebelum ini lahir secara normal, yang ini lain pula caranya. Ishak terima cadangan doktor untuk dibedah. Lebih kurang 5 ke 6 jam si ibu bertarung di bilik bedah. Ishak dan Lin sahaja kelihatan menunggu di hopistal. Yang lain telah pon pulang ke rumah. Jam lebih kurang 2.50 pagi. Doktor keluar tenang dari bilik pembedahan. Ishak dan Hazelin terus ke hadapan doktor. Belum sempat mereka berkata, "Tahniah En.Ishak, isteri awak selamat melahirkan seorang bayi lelaki." si doktor lebih dahulu memulakan kata. Lega kepalang si ayah dan si anak dengan khabaran dari doktor. Jam di tangan 2.52 pagi, 6 Julai 1981. Lahir anaknya yang ke-7, putera yang ke-2 dalam keluarga. Ibrahim Khalil Bin Ishak diberi nama sempena nama pejuang yang unggul pada masa lampau.


Begitulah hendaknya cerita yang saya ingat seperti di ceritakan oleh mak. Katanya dia memang sudah tidak terfikir hendakkan zuriat pada ketika itu. Tup Tap! Membesar perutnya membawa saya. Balas saya, Ayahlah yang patut dipertanggungjawabkan. Tapi takdirnya saya tiba di bumi Johor. Taman Tasik Johor Bahru. Alhamdulillah saya lahir sempurna sifatnya, tiada cacat cela pada fizikalnya. Bermula episod baru dalam keluarga Ishak dan Zahrah yang kekal selama 6 tahun bersama saya di rumah Taman Tasik itu.......................

1 comment:

Anonymous said...

hi, sorry to leave a comment like this, saya dulu rakan sekolah kakak awak, Hasifah Fauziah Ishak di SIGS JB(1985-1987) kerana selepas itu, Hasifah melanjutkan pelajaran ke sekolah asrama kalau tak silap, boleh saya tahu di mana kakak awak sekarang? Thanks