Wednesday, May 30, 2007

Ombak Jahat


Minggu lepas saya berkesempatan makan tengahari di
Cyberjaya. Tiba-tiba saya dapat yang nombornya tidak saya kenali, 'sms''sms'nya berbunyi, "Itu bontot mau kene snipe ka? - Ombak Jahat" Wah betul-betul pendekar ini orang. Agak-agaklah nak 'sms' pun. Terpandang akan nama dibelakang tertera Ombak Jahat, Teringat akan seseorang teman di MMU dahulu, kini sudah bergelar 'Otai' TmNet. Ombak Jahat, apa punya nama daa, hendak kata badannya macam ombak pun ada juga. Hehe. Jangan marah ya Encik Sharizan. Lama saya tidak berjumpa akan Encik Ombak ini.


Dengar cerita sudah pun bertunang. Tahniah! Saya juga ingin berterima kasih kepadanya kerana memberi saya tiket percuma ke konsert
Mariah Carey dahulu. Kalau tidak kerana dia, tidaklah saya berada dikesesakkan orang ramai di sana. Terima Kasih. Tetapi apa-apa pun, ketika bergelar raja sehari nanti, jangan lupa jemput. Jadi videographer pun lagi bagus, tetapi tiket ke Tawau diharap juga di dalam bajet video jugalah. Thank you in advance.

Monday, May 14, 2007

Selamat Hari Ibu!



Kepada Puan Zahrah Bte Yusof Selamat Hari Ibu.. Kepada semua ibu-ibu di seluruh dunia juga Happy Mother's Day

Manisnya rambutmu

Terbaiklah ini 'cik minah' nyanyi...tergoda gitu!

Thursday, May 10, 2007

Sekolah itu ada hantu!


Esok merupakan hari pertama bagi si kecil ini ke sekolah rendah. Dia agak gelisah kerana pada asalnya dia mahukan sekolah yang lain agar dapat ke sekolah yang sama dengan rakan-rakan sekampungnya. Tetapi hajatnya tidak kesampaian. Esoknya tiba dan hari pertamanya di sekolah rendah itu bermula agak baik. Walaupun si kecil ini rasa keseorangan tetapi dia berjaya untuk mengharungi hari pertama di sekolah dengan jayanya. Pulangnya dari sekolah perasaannya tiba menjadi keliru, perasaannya untuk ke sekolah terkubur sama sekali. Di beritahu kepada ibunya dia tidak mahu ke sekolah lagi.


Esok kembali lagi, si kecil tetap harus ke sekolah. Ibu bersama teman-teman si ibu menghantar si kecil ini ke sekolah. Setibanya di sekolah, perasaan keliru dan memberontak timbul di benak fikiran si kecil in. Bermulalah episod baru dalam hidup si kecil ini, dia tidak mahu keluar dari pintu kereta si ibu, dipaksa akan si ibu, si kecil tetap berdegil, ditepis tangan si ibu sambil menjerit tidak mahu.

"Tak nak! Tak nak! Nak balik!"

Airmata si kecil mula bercucuran laju seperti hujan, hanya tidak disambut dengan kilat sabung menyabung. Dipaksa juga akan si ibu untuk turun. Dengan kudrat si ibu, lalu diangkat akan si kecil ke bilik darjah. Meronta-ronta si kecil, ditumbuk terajang akan si ibu. Di depan pintu bilik darjah, ibu meleraikan dukungan akan si kecil. Bagai bayangan Rabuan Pit menguasai perasaannya, si kecil terus berlari ke bilik dalam darjah dan hala tujunya ke tingkap bilik darjah. Zaman itu tingkapnya, seperti pintu. Lalu si kecil melompat sambil menangis ke atas meja dan seterusnya terjun dari tingkap keluar bilik darjah. Dia berjaya mendarat dengan jaya, dipandang kiri dan kanan,

"Ahh nak pegi mana ni?"

Terkejut bukan kepalang akan si ibu dan dan temannya, Guru kelas dan murid-muridnya terpinga-pinga melihat perlakuan si kecil ini. Si kecil tadi dengan tidak teragak-agak berlari melulu ke pintu pagar sekolah. Berada ada dia kini diluar sekolah terpinga-pinga tidak tahu apa yang mahu dia lakukan.

"Nak balik macam mane ni? Takkan nak naik bas. Aku datang dengan mak aku. Ahh! Nak balik!"

Si ibu mengekori si kecil tadi ke pintu pagar sekolah. Ditengking akan si kecil supaya masuk ke kawasan sekolah semua. Si kecil tetap berdegil tidak mahu menuruti perintah si ibu. Dipujuk akan si ibu berpuluh-puluh kali supaya kembali ke bilik darjah. Cubaan ibu gagal. Terpaksa akur, di bawa pulang si kecil ke rumah. Di rumah dipujuk lagi, si kecil akhirnya bersetuju dengan syarat mesti ada yang menemaninya di sekolah. Yang menjadi mangsanya adalah kakak ke-4 si kecil. Terpaksalah si kakak menemani si kecil di sekolah pada setiap hari selama sebulan. Dasyat yang amat! Si ibu mengambil keputusan untuk menukar si kecil ke sekolah yang baru, ke sekolah yang sama dengan anak jirannya. Gembira bukan kepalang akan si kecil kerana memikirkan akan ada teman di sekolah barunya nanti. Lebih-lebih lagi bersekolah sama dengan teman sekampungnya.


Tetapi......di sekolah yang baru tetap sama perangai akan si kecil ini, tetap tidak mahu dan menangis apabila dihantar ke sekolah. Apa yang difikirkan akan si kecil ini tidak siapa yang tahu. Dia tetap takut untuk ke sekolah. Alasannya tidak mahu ditinggalkan ibu. Kisah berikutnya yang terjadi hanya terjadi di layar perak yang dilakunkan oleh pelakon terkenal zaman si kecil ini. Sepertu di dalam filem Gila-Gila Remaja dengan Azroynya dan Sembilu dengan Awienya. Ketika si kecil dihantar ke sekolah, hujan turun dengan lebatnya. Si ibu menghantar si kecil hingga ke pintu bilik darjah. Si kecil terpaksa akur dan masuk ke ke dalam. Hanya selepas meletak beg sekolahnya dan dipusingkan kepala dan terpandang akan si ibu sudah memasuki kereta untuk pulang, perasaan tidak keruan menguasai diri si kecil ini. Dia menggila lagi, dicampak beg sekolah dan berlari keluar sekuat hati mengejar si ibu di dalam hujan yang lebat! Memang seperti di layar perak, seperti gadis mengejar kekasihnya. Ibarat si kecil ini seperti Erra Fazira dan si ibu Awienya. Lariannya si kecil tidak terhenti, dikejar lagi ibunya ke jalanraya luar kawasan sekolah, malangnya ibunya tidak perasan akan situasi itu. Berlalulah si ibu, dan si kecil itu akhirnya diberkas oleh pakcik sekuriti sekolah itu. Macam penjenayah buruan pula.


Berlangsunglah situasi begini selama hampir 2 tahun lebih adanya. Hingga diakhir tahun 2, si kecil mula menunjukkan perubahan, dan dia sudah mula menerima untuk berada di sekolah. Kejadian ini berlaku pada tahun 1987 kalau tidak silap saya. atau 1988. Si kecil itu tadi adalah diri saya sendiri. Saya juga sendiri tidak tahu apa yang saya fikirkan ketika itu, tetapi ianya satu pengajaran dan kenangan untuk saya simpan dan kini untuk saya kongsi 'kisah gila' zaman kanak-kanak dahulu.

Wednesday, May 9, 2007

Zombie Pusat Bandar Puchong


"Tak lama sangatkan awak buat video macam ni? 8 minit jer takde la lame sangat. Awak pon mesti dah ade templatekan? Tukar gambar ni dengan tu je. Awak pakai software ape eh?"


Ya tidak susah, sebabnya saya memang jenis yang boleh mengadap di depan komputer 24 jam buat kerja-kerja video ini. Tetapi mendengar kata-kata 'template' itu membuatkan saya rasa kurang senang. Ya mungkin ada 'template' tetapi kalau semuanya harus ditukar maknanya, seperti buat dari awal semulalah, jadi 'template' itu tidak membantu sebanyak mana. Kalau gambar-gambar dan grafik yang diberikan kepada saya semuanya 'low quality' maknanya saya kena perbaiki dan buat yang baru jugalah kan?


Harga mahu yang murah, kualiti mahu yang terbaik, hendak 'preview' dalam masa yang cepat. "Wah! ape ingat aku 'Mac G5' atau pakai enjin Skyline turbo letak nitro sekali?" Tetapi hendak buat macam mana, pelanggan selalunya betul, mahu tidak mahu, kenalah terima juga. Doa saya biarlah yang ini bayarannya tepat pada masanya. Sakit hati yang amat sudah menunggu bayaran-bayaran yang sudah berbulan-bulan lamanya, kalau dikira semula tempoh ketika mendapat bayaran, seperti tidak berbaloi membuat dan menerima 'job' berkenaan pada awalnya. Hingga hari ini pun, banyak lagi yang belum saya terima, sebabnya asalnya 'job' itu berusan dengan rakan. Nanti jika ditekan-tekan, lain pula jadinya sampai boleh membawa kepada pergaduhan. Menyuruh untuk faham situasi mereka. Habis, situasi saya bagaimana? Letak di mana? Celah ketiak? Itu periuk nasi saya, kalau tidak ditekan, tidak berasaplah periuk saya.


Pernah dahulu ketika saya makan gaji, berusuan dengan syarikat besar yang mahu membuat 'Corporate Video'. Nasihat saya, jangan dibuat urusan sebegini. Al-kisahnya pada peringkat pertama hingga selesai semua video berkenaan, ditunjukkan kepada bossnya, ditukar pula kehendaknya dari 'Corporate Video' mahu ke 'Product Video'. Tidak mengapa, boleh saya terima kerana pada asalnya ada kesilapan informasi mengenai kehendak boss itu. Jadi peringkat seterusnya, boss berkenaan mahu saya datang ke pejabatnya untuk saya edit di depannya. Bekerjalah saya di bilik mensyuaratnya dengan skrin besarnya dan hanya 'laptop' peneman menyudahkan kerja saya. Saya agak kerenah bila tiba bahagian membuat kerja dengan menggunakan komputer yang boleh melambatkan proses kerja saya. Pada peringkat awal, boleh lagi saya terima akan cara begini. Tetapi kalau sudah berhari-hari membawa kepada minggu, mendengar arahan tuan punya syarikat mahu video ini begini, ditukar kepada begitu. Sakit hati yang amat. "Mana pendirian kau ini! Sekejap begini, sekejap begitu, mana satu yang kau hendak!" Jadi kebebasan tidak ada pada saya. Jalan cerita semuanya terletak pada tuan punya syarikat. Jadi hasilnya sebuah 'product video' yang saya sendiri tidak mahu mengaku yang saya membuat video ini. Tetapi memandangkan tuan punya syarikat ini baik orangnya, tidak mengapalah, tetapi tetap saya tidak mahu mengaku yang video itu hasil kerja saya.


'Job video' yang baru ini membuat saya kembali ke zaman MMU dahulu, lama sudah saya tidak kembali ke zaman tidak tidur berhari-hari ini, tetapi memandangkan 'client' mahu 'preview' dalam masa terdekat, jadi hampir 3 harilah saya tidak tidur. Walaupun videonya 8 minit sahaja, dari awal perbincangan, saya sendiri lihat seperti tidak banyak yang perlu saya lakukan, tetapi bila sudah mula edit, YaAllah, kenapa tidak habis-habis saya rasakan, banyak yang amat rasanya. Jadi hari ini saya berkesempatan membalas tidur-tidur saya. Seperti saya balas tidur-tidur saya ketika di MMU dahulu.


"Mamak! bagi Tongkat Ali Power Root satu! Kasi ade kick sikit!"

Saturday, May 5, 2007

Link baru


Saya merasakan lebih elok untuk ada blog yang baru hanya untuk saya merapu tentang diri saya, diri orang itu, diri mereka, tentang itu dan ini, juga merapu tentang apa-apa yang boleh saya merapu. Jadilah sang.pereka ini hanya untuk saya merapu. Sekian terima kasih

Kampung Koji


Kampung Koji kini dalam keadaan huru-hara. Mereka baru sahaja kehilangan ketua kampung mereka. Sebabnya tidak pula saya ketahui. Penduduk sekampung bertekad mencari penggantinya. Pendapat mereka berpecah kepada dua. Puak yang ini mahukan Pak Hitam sebagai ketua kampung . Puak yang lain mahukan Dol Lida menjadi ketua kampung. Bermacam rentak kaki kuda diatur agar tidak kehilangan rentak atau sebagai cara menyerang. Al-maklumlah orang kampung, kaya dengan seni mempertahankan diri. Dalam pada riuh rendah akan Kampung Koji ini. Kisah yang satu ini menarik minat saya. Jika satu kampung sudah riuh rendah, gempak gempita. Maka terdengarlah akan kampung sebelah. Jadi dihantarlah seorang wakil untuk membuat liputan bersama-sama dengan batalionnya. Apa yang terjadi akan diwar-warkan kepada ketua kampung sebelah. Dalam masa diwar-warkan, datang akan orang suruhan Pak Hitam, memberi salam selamat datang. Disahut akan wakil ini dengan senyum meleret. Terasa akan tangannya seperti bergesel dengan sesuatu yang keras. Dalam hatinya, keras betuk tapak tangan orang suruhan Pak Hitam ini. Dilihat tapak tangannya, ada sampul surat dilipat kemas. Seperti kanak-kanak mendapat gula, dengan pantas dibuka akan wakil itu, dan terlihatlah dia akan tiket percutian ke luar negara (tempat terpaksa dirahsiakan atas sebab-sebab keselamatan). Dalam hati si wakil ini. "Ini tidak boleh diwar-warkan, bahaya, biarlah aku seorang sahaja yang pergi bercuti. Boleh aku membawa Tijah bersama, Ah seronoknya."


Maka disambung lagi akan liputannya di Kampung Koji ini. Datang lagi orang suruhan Pak Hitam yang lain. Tetapi kali ini si wakil ini yang menghulur salaman. Di terima baik akan orang suruhan itu. "Eh keras juga akan tapak tangan orang suruhan ini" berkata di dalam hati akan si wakil ini. Dilihatnya lagi, "Waduh jutaan rupiah gue dapat, lumayan-lumayan". bisik hatinya. Lalu si wakil ini pergi pula ke kawanan Dol Lida, memikirkan tapak tangan mereka juga akan keras seperti tapak tangan orang suruhan Pak Hitam. Tibanya di sana, sedang riuh dengan ceramah oleh orang kuat puak Dol Lida ini. Jadi dengarlah akan si wakil ini. Isi ceramah itu seperti memukul-mukul akan hati si wakil ini. Seperti ada benarnya akan kata si penceramah ini. Tetapi memikirkan poket seluarnya sudah kembung, buat tidak tahu sahajalah. Wakil ini berpatah balik ke kawanan Pak Hitam kerana tiada siapa yang menghulur salam kepadanya ketika di kawanan Dol Lida.


Gambaran saya tiba-tiba samar melihat perkampungan Kampung Koji ini. Saya gosok akan mata ini, dilihat kembali, terlihat akan saya kipas di atas saya berputar laju, tetapi badan saya berpeluh kepanasan.


"Mamak! Peliklah mimpi aku semalam, cuba kau tafsirkan!"

Street Tuner


Pada hari Ahad, saya berkesempatan ke Bukit Jalil untuk menyaksikan The Ultimate Street Tuner Carnival 2007. Pada mulanya saya dan seorang teman ke sana terlebih dahulu dan tidak tahu menahu yang ianya berbayar (lupa yang amat). Ketika itu juga saya terlupa untuk membawa kamera saya. Jadi kami berpatah balik untuk mengambil kamera. Tiketnya RM20 bagi saya agak mahal atau pun memang begini harganya. Cuaca agak panas ketika itu, saya menjadi malas untuk mengambil gambar kerana kepanasan. Jadinya tidak banyaklah gambar yang sempat saya rakamkan. Dalam masa mengambil gambar itu, saya terpandang akan gelagat seseorang ini. Dengan adanya 'model' yang berposing bersama kereta yang dipamerkan, jadi berkeremunlah manusia disekeliling kereta berkenaan dan saya terpandang akan lelaki ini bersungguh-sungguh yang amat, kalah kesungguhan pemain bola sepak negara bawah 20 tahun.


Lelaki berkenaan memintalah model wanita itu 'berposing' mengikut kehendaknya. Bermacam-macam
'posing' dilakukan, hingga satu ketika wanita berkenaan tidak mengikut kehendak si lelaki ini. Jadi dibentuklah si lelaki akan wanita berkenaan. Digerakkan wanita itu begini, begitu, begini kembali seperti lagak profesional. Jadi bila mengikut kehendaknya, saya terpandang akan kemeranya. Jangka saya mesti kameranya besar 'gedabak' lengkap dengan aksesorinya mengalahkan kamera saya, rupanya kecil yang amatlah kamera si lelaki ini, lebih kecil dari tapak tangan. Ketawa sendirianlah saya melihatnya. Kalau dia hanya memakai kamera telefon bimbit, mahu sahaja saya maki lelaki itu. Lagak seperti di dalam studio mengarah model melakukan aksi begini begitu.


Tetapi memikir akan dia juga berbayar, jadi jatuhlah haknya di situ.Saya melihat 'photographer' profesional di belakangnya menunggu dengan muka mencuka masam. Lantak kaulah.

Penyanyi No 1 Malaysia! Fuyoh!


Fook! Fook! Fook! Saya ada menonton rancangan di RTM 1 tadi, tidak ingat pula apa rancangannya. Saya ada juga terbaca tajuk berita di Utusan Online mengenai Ina dan Mawi. Al kisahnya tepat pada waktu saya menonton RTM 1 tadi, Ina baru hendak bermula menyanyi. Saya tidak mahu tahu bagaimana dia boleh mempunyai lagu sendiri, dan saya juga tidak mahu tahu bagaimana dia boleh berada dipentas itu pada awalnya. Tajuk lagunya saya tidak ingat, tetapi suaranya, Fuyohhhhhh! Apa kau ingat kau tengah menyidai kain baju dekat belakang rumah di kampung? Kau gila ke? Aku yang gila? Saya pula yang malu bukan kepalang melihat wanita yang seorang ini menyanyi di atas pentas. Ya saya tahu, kita diajar untuk ada keyakinan pada diri sendiri. Saya juga seperti sedia maklum yang keyakinan Ina ini berada ditahap yang tinggi. Tetapi keyakinan wanita seorang ini tidak kena pada tempatnya. Saya sendiri boleh merasakan yang dia sendiri sedar yang sememangnya dia tidak boleh menyanyi. Mengapa harus memalukan diri sendiri sebegitu rupa?


Saya jugak pelik mengapa pihak RTM boleh membenarkan penyanyi yang tidak mempunyai kualiti berada dirancangan mereka atau pun ianya pilihan penonton semata. Tidak mengapalah, tetapi saya tidak faham mengapa penonton Malaysia mahupun RTM sendiri boleh mengakui atau mengiktirafkan wanita dari negeri kelahiran saya ini bergelar penyanyi?... Ah! Pelik sungguh industri musik Malaysia ini.


'Mamak! aku ingat kalau kau nyanyi untuk aku lagi cantik la... itu lagu Hindustan pun bole la!...."

Cicak-Man is not the man!


Pertama sekali, Tahniah kepada KRU kerana membawa dunia perfileman Malaysia kepada satu 'level' yang baru. Saya tidak menonton filem ini di panggung wayang kerana takut akan dikecewakan dengan mutu 'CGI'nya. Sebagai seorang yang berlatar belakangkan '3D graphics', saya semestinya mengharapkan sesuatu yang bermutu pada '3D environment'nya. Saya menonton DVD Cicak-man di rumah hasil pinjaman dari seorang rakan.

Tanggapan awal permulaan cerita ini. Saya kagum dengan kualiti '3D'nya. KRU berjaya menaikkan mood filem ini. Tetapi perasaan kecewa lebih menguasai perasaan bangga apabila menonton filem ini hingga ke hujungnya. Jalan ceritanya adalah jalan cerita yang paling dasyat pernah saya lihat. Tewas Yusof Haslam begini. Watak-watak dalam filem ini pun lebih banyak yang menyakitkan hati, Watak Aznil itu cukup membengangkan kepala otak. Watak Adlin dan AC Mizal juga agak mengecewakan. Saya ada juga ada terlibat dalam pembikinan filem ini. Itu pun di pertengahan penggambaran. Jadi saya berpeluang melihat set dan kostum yang digunakan. Kostum hero si Cicak-man sahaja sudah mengecewakan. Jika KRU mampu untuk menghasilkan lebih 70-80 peratus '3D effects' dalam filem ini yang saya sendiri tahu, kosnya pasti jutaan ringgit. Mengapa tidak dilaburkan kepada kostum yang lebih bermutu. Alang-alang, berilah lebih keutamaan kepada kostum si hero ini. Ini tidak, apabila lihat dengan lebih dekat kostum ini, sangat mengecewakan, dan dalam filem juga kita bole lihat, kualiti kostumnya tidak berapa elok. Berbalik kepada jalan cerita filem ini. Sepanjang menonton filem ini, saya sempat ke dapur sebentar, masuk ke bilik berbual di telefon sebentar, kerana perasaan bosan yang lebih menguasai. Saya ada juga dengar khabar angin mengatakan skrip asal filem ini ditolak oleh Finas. Tetapi mereka telah menukar dengan skrip yang baru, dan Finas meluluskannya, tetapi mereka mulakan penggambaran dengan skrip lama yang telah ditolak oleh Finas pada awalnya. Benar atau tidak, Wallahualam. Jadi kesimpulannya, nasib baik saya tidak menonton di panggung wayang, jika tidak, sudah pasti makian yang akan keluar di dalam panggung nanti. Cuma bahagian efeknya sahaja, yang boleh dibanggakan. tahniah kepeda krew KRU, saya juga yakin efeknya tidak disempurnakan dengan 100 peratus oleh pihak KRU kerana saya tahu mereka mampu untuk melakukan lebih baik dari itu.

Saya sedar, saya tidaklah mampu untuk membuat filem sedemikan rupa, tetapi saya cuma bersuara daripada mata pandangan seorang penggemar filem dan pengguna. Alangkah elok kalau teknologi KRU itu digabungkan dengan idea cerita Afdlin Shauki atau pun Yasmin Ahmad, pasti akan terhasil satu filem yang bermutu tinggi. Tidak mustahil bukan?

"Mamak! Ini macam lu pasang itu tamil filem laa, baru layan dengar sound effect die." Thank you mamak!"

URBANLIVE 2007





Baru-baru ini NTV7 melancarkan karnival terbaru mereka, URBANLIVE 2007 yang berlangsung di The Curve, Mutiara Damansara. Saya berada di sana pada kedua-duahari berlangsungnya karnival tersebut. Ianya 'ala' Jom Heboh TV3, tetapi yang ini versi NTV7 yang mana fokus mereka adalah kepada golongan 'Urban' dan lokasi mereka adalah di kompleks membeli belah di serata Malaysia. Seperti yang saya di fahamkan, mereka akan menjelajah ke Kuala Lumpur, Ipoh, Pulau Pinang, dan Johor Bahru. Saya ada juga terpandang di kaca TV, di mana RTM juga akan mengadakan karnival sebegini, Karnival Gegar kalau tidak silap saya.
Sambutannya pada saya mungkin tidak memberangsangkan, atau pun mungkin pihak pengurusan NTV7 mahukan sambutan yang sederhana begini, memandangkan lokasinya pun hanya tertumpu di pusat membeli belah. Tetapi ianya permulaan yang baik, rekaan set juga pada saya menarik mata memandang. Saya yang berada di sana merangkap jurukamera yang tidak bertauliah kepada salah seorang pembaca berita NTV7. Jika diikutkan, saya kurang minat berada di tempat sesak ini, Jom Heboh sudah pastilah saya tidak akan pergi. Kali terakhir seingat saya, berada di tempat sebegini ialah di konsert Mariah Carey di Stadium Merdeka. Oh dan yang terbaru ialah konsert Boyz ll Men. Tetapi ianya tidaklah sesesak Jom Heboh jika hendak dibandingkan.


Eh kedai mamak pun boleh tahan sesaknya. "Mamak order! Ermm...roti kosong ke roti telur ek?..Bagi meggi goreng laa satu!.."


Cita-citaku Inspektor Polis


"Mane manager kau? Suruh die jumpe aku skarang!..... Lu kenal gua siape?.. ni kawan-kawan gua ni nak minum, lu tanye laa ape die nak minum."
Itu antara kata-kata yang biasa saya dengar dari teman sekampung saya ini yang kini bergelar Inspektor. Ayat "trademarknya", "Mane manager kau?" Saya tidaklah berniat nak memalukan teman rapat saya yang satu ini. Tapi cuma ingin berkongsi akan sikap-sikap sesetengah anggota polis di bumi Malaysia. Abang ipar saya pun Chief Inspektor, tetapi tidak seperti yang seorang ini.



Kadangkala itu, ada juga saya ikut si Inspektor dan rakan-rakan saya ini lepak minum, tidaklah selalu, sebabnya mereka ini biasa buat benda yang saya tidak pernah saya lakukan, saya pula bukan jenis yang itu, jadi kebanyakkannya bila di ajak ke tempat sebegini saya tarik diri lebih dahulu, Al-kisahnya saya ada 2 orang rakan yang kini bekerja sebagai polis, satunya Inspektor dan seorang lagi itu sebagai Prebet biasa sahaja. keduanya telah lama pun saya kenal. Si Inspektor ini dahulunya bersekolah agama, memang cukup didikannya lain pula dengan yang satu lagi, bersekolah biasa. Si Prebet ni pula dahulunya memang terejal adanya. Jadi karakter yang berdua ini memang bertentangan dizaman sekolah dahulu. Seingat saya, si Inspektor ini lebih dahulu meminta untuk menjadi pegawai polis. Lebih kurang 6 bulan jurangnya yang si Prebet ini diterima bekerja. Tapi apa yang terjadi berikutnya, bertentangan sekali lagi, si Inspektor yang dahalu, berpendidikan dan baik perwatakannya menyapu semua sifat dan sikap yang ada pada si Prebet ini, sebaliknya juga jadi pada si Prebet ini. Sudah bertukar pula jadinya. Saya nak bercerita akan perilaku si Inspektor ini. Saya tidak tahu sama ada kebanyakkan anggota polis seperti teman saya yang satu ini atau tidak. Wallahualam. Baru saja diterima sebagai pegawai polis, dia dah mula tunjuk taring. ditempatkan pula di ibu kota, memang cantiklah bagi dirinya. Habis semuanya dilanggar. dia tidak menunggu orang memberi, tetapi dia sendiri yang mencari, seperti biasa, keluarlah ayatnya "Mana manager kau?" Saya sebagai teman rapat, dapat menegur mana yang mampu sahaja, sebabnya saya sendiri juga tidaklah sebaik mana. Ada juga saya tegur caranya sebagai Inspektor, tetapi tidak tahulah dia dengar atau tidak. Terlalu banyak salah guna kuasa yang berlaku. Dan yang paling saya ingat, pernah terpampang di surat khabar kes teman saya ini. Tetapi tidak disebut akan namanya. Si Inspektor dan seorang anggotanya cuba menyamun di rumah kongsi pekerja Indonesia. Jadi keluarlah senjata si Inspektor yang ditujukan khas untuk pekerja-pekerja tersebut. Tetapi sebaliknya yang terjadi, pekerja ini bertindak balas, ramailah mereka mengepung kedua anggota ini. Apalagi di terajang tumbuklah kedua anggota polis ini, yang cantik dimata Inspektor ini, dia berjaya lepas lari. Tanpa segan, dia tinggalkan anggotanya yang seorang itu. Teruklah anggota itu dikerjakan. Seperti yang tertera dalam akhbar, anggota polis terbabit dipukul hingga dimasukkan ke ICU. Teman saya ini tidak ada apa yang berlaku. Memang cantiklah cara begitu. Kisah salah guna kuasa yang lain, ini keluar dari mulutnya sendiri, kalau tipu akan teman saya ini, ditipulah saya gamaknya. Disekitar beberapa kawasan di Kuala Lumpur ini sahaja katanya, dia menjaga beberapa kepala Tauke VCD, sebabnya si Inspektor ini gemar yang amat membuat serbuan di kedai-kedai VCD ini. Jadi rumusannya, tauke-tauke ini terpaksa menyogoknya. Dari apa yang saya dengar dari mulutnya, satu kepala boleh mencecah dari RM 800 hingga ke RM 1000 ke atas setiap bulan. Lebih kurang 10 kepala adanya teman saya ini ada di bawah jagaannya. Memang atas angin sahajalah pendapatan teman saya yang satu ini. Mungkin atas sebab darah muda pada teman saya ini, sikapnya menjadi-jadi. Kalau begini caranya setiap pegawai polis yang berjawatan. Susahlah jadinya. Hendaknya tidak begini adanya. Tetapi tidak tahulah.


Saya rasa kalau begini, hendak juga saya cuba di kedai mamak di Kuala Lumpur ini, "Mamak! meh sini! Mana manager kau?, Panggil die sini, aku nak makan free ni, kau punye nasi goreng ayam je harga dah double. aku taknak bayar! taktau, taktau, taktau,!


Tolonglah pandang belakang


Baru- baru ini saya berkesempetan menonton filem Jangan Pandang Belakang arahan Ahmad Idham. Cerita yang boleh dikatakan menarik. Ada juga adegan-adegan yang membuat saya terkejut. Tetapi saya bukan mahu membincangkan jalan cerita yang terpampang di skrin dihadapan saya. Tetapi ingin menceritakan jalan cerita yang berlaku di dalam panggung wayang ketika tayangan dijalankan.
Tanggapan pertama saya, mengapa kebanyakkan penonton melayu berlakuan sebegini. Tidak dinafikan panggung ketika itu penuh dengan penonton, dan saya juga yakin yang semuanya melayu majoritinya. Sebelum wayang bermula, sudah timbul rasa tidak enak. Selang 4 kerusi ke kanan saya sudah ada rancangan radio terhangat yang baru. One Utama FM gamaknya. 2 wanita, satu lingkungan 20an dan satu lagi lewat 30an. Bukan main rancak berbual kalah Farah Fauzana. Tetapi tayangan belum bermula, jadi saya diamkan saja. Barangkali bila mula tayangan tamatlah siaran radio itu. Sangkaan saya meleset. Bermula saja tayangan, ayat yang mula-mula terpacul dari mereka berdua. "Eh ni kampung kat mane ni? Aku rasa macam kat Perak je. Eh bukan-bukan". Ewah, awal-awal sudah soal selidik tempat dalam hati saya terfikir. Tidak mengapa saya diamkan lagi. Di sambungnya lagi dengan soalanyang bukan-bukan. Teman di sebelah saya berdehem kuat agar mereka faham-faham sendiri. Tetapi tidak diendahkan. Jadi sepanjang lebih kurang 30 minit, berlangsunglah radio mereka tanpa henti. Hendak dijadikan cerita pula, lebih kurang 7 sekawan satu barisan di depan saya pun macam di warung kopi. Ada sahaja jawapan yang keluar dari mulut mereka. sudahlah yang di kanan macam deejay radio yang di depan pula macam sedang minum kopi sambil bersembang. Telinga saya sudah terbakar. Hati memang membaralah. Lantaklah. Keluar juga kata-kata dari saya, saya tujukan khas untuk kakak-kakak di sebelah kanan saya. Tapi dengan nada yang agak baik sedikit. Tidak mahu dikata kurang ajar. Lalu, "Kak, apa kata akak diam sikit. Boleh tidak?". tetapi kata-kata itu tidak berkesan. Terus jawapan daripada kakak itu. "Eh ni kat Bangsarkan?.. Haa betul laa... tu maybank tu. aku kenal maybank tu... tapi apsal diorang nak kene ambik gambar kat atas bangunan eh?" Ohhh, menyirap bukan kepalang jadinya. Selang beberapa minit pula, yang didepan pula menjawab pertanyaan si pelakon asal cerita, "DVD? Haa aku ade DVD kat umah aku, kau nak cerita ape? Semua ada..." disambut dengan gelakan rakan-rakan mereka. Saya yang sudah sememangnya membara terpacul suara yang saya rasa satu panggung boleh dengar, keluarlah kata, "Hoiiiii!!! Nak bercakap pegi kedai kopi laaaa!!!!!!!! Kecoh nak mampus!!!!!!!! Tap! diam kesemuanya, puas hati saya. Memang yang didepan saya diam jadinya. Lega sedikit. Tetapi yang lain jadinya, saya tidak faham kenapa kebanyakkan orang melayu memang begini sikapnya. Kakak-kakak deejay radio tu membalas dengan cara mereka. Bila mereka terbatuk sikit, mereka kata "Eh jangan batuk, nanti ade orang tak boleh fokus" lepas itu keluar lagi "Jangan cakap kuat-kuat, nanti ade orang marah". Saya pun tidak faham mengapa ada orang berperangai sedemikian, hendak kata dari kampung tak pernah tengok wayang. Saya ini datang dari hulu kampung, tidak begitu pun sikapnya. Habis sampai penghujung wayang kakak-kakak deejay itu "menganjing" saya. Biarlah kau dengan buah dada kau.


Memang tawar hati menonton cerita melayu lagi. Kerana saya tahu, penonton sebeginilah yang akan saya dapat setiap kali saya menonton. Bukan sekali dua tetapi setiap kali ini pernah terjadi. Bosan jadinya. Saya bukanlah menyalahkan semuanya. Saya tahu mereka juga bayar untuk menonton wayang. Tetapi diawal wayang sudah diingatkan janganlah menjadi pencerita cerita atau berlakon macam deejay radio. Paling kurang pun berilah rasa hormat sikit pada penonton yang lain. Kalau betul pun nak bercerita panjang lebar, beli sahajalah vcd, tonton di rumah. Bolehlah awak-awak semua bersembang sambil memasak ke. Sambil berasmaradana ke, Tiada siapa yang kisah. Sampai ada satu ketika, teman saya pernah terkena. Dia menonton wayang bersama temannya dari luar negara. Al kisahnya terjadilah seperti mana yang terjadi pada saya di panggung wayang. Sehabisnya cerita, si "Mat Salleh" ni pun bertanya. "Is this the way you, Malaysian watching movie? Talking all the way? Gamaknya tak terjawablah teman saya yang satu itu. Saya sendiri pun tidak faham. Kalau saya dan penonton yang lain boleh diam ketika menonton. Mengapa orang seperti kakak-kakak deejay dan sekawan manusia di depan saya tidak boleh melakukan perkara yang serupa. Tidaklah maksud saya diam sepanjangnya. Kalau ada adegan yang membuat tertawa dan terperanjat lainlah kisahnya. Ini kalau setiap adegan ada soalan dan jawapannya, Macam kedai kopi lah jadinya.


"Mamak Nescafe Ais kurang manis satu! Itu ais jangan taruk, itu nescafe juga jangan taruk. Kurang manis tau"


Dato' Onn

1987, Lokasi Jalan Sentosa, Kg Dato' Onn

Setelah 6 tahun di Taman Tasik, Ishak dan batalionnya berpindah semula ke tempat yang sebelum ini mereka diami. Rumah peninggalan arwah nenek, Tok Cha. Saya tidak sempat untuk kenal arwah Tok Cha lebih lama, kerana seingat saya mungkin dalam lingkungan umur 5 tahun dia telah menyambut panggilan Ilahi. Rumah yang kami berpindah semula ini berhadapan dengan rumah lagenda pejuang tanah melayu, Arwahyarham Dato' Onn Jaafar. Tempat tinggal ini dinamakan sempena namanya, dan sepengetahuan saya, Kampung ini dibuka sama tahunnya dengan hari kemerdekaan tanah melayu 1957. Rumah arwah masih tersergam di situ yang kini di jaga oleh menantunya, yang kami panggil dengan gelaran Cik Pet. Suaminya Tahir Onn juga anak bongsu kepada arwah Dato' Onn juga pulang mengadap Ilahi pada tahun lepas jika tidak silap saya.

Berbalik kepada teratak Ishak dan batalionnya. Ianya telah diubah suai oleh siapa, tidak teringat akan siapa, mungkin oleh abang- abang ibu saya, yang saya ingat ketika itu, mereka orang yang berada berbanding ibu. Ketika proses membangunkan batu bata yang baru di rumah ini. Kami sebatalion pernah singgah melihat perkembangannya. Di sinilah pengalaman yang sangat menakutkan pernah terjadi pada diri saya. Saya masih ingat ianya berlaku di bilik yang paling belakang kawasan rumah, bersebelahan dengan dapur. (kini didiami oleh Bibik - pembantu rumah kakak saya). Pada ketika itu saya sudah cukup merasakan yang bilik ini cukup besar keluasannya kalau dibandingkan dengan sekarang memanglah kecil, cukup untuk seorang menghuninya. Di bilik itu ditempatkan satu almari putih yang ketika itu saya rasakan seperti bangunan 3 tingkat tingginya, maklumlah ada tiga ruangan, dari bawah ke atas. Namanya pun kanak-kanak ketika itu, segala benda dan tempat yang boleh dipanjat, selagi itu akan dicuba. Jadi saya tanpa segan silu mengikut naluri budak-budak memulakan panjatan. Panjatan pertama, berjaya kedua juga berjaya. Tetapi apabila mengangkat kaki untuk panjatan ketiga, sesuatu yang tidak pernah terjadi pada hidup saya, terjadi pada ketika itu. Almari itu tumbang sambil membawa saya bersama mencium lantai. Nasib baik tidak ada apa-apa yang berlaku kepada saya. Tetapi lain pula saya rasakan pada ketika itu. Mengapa dunia saya gelap gelita, seingat saya kami tiba pada siang hari, mengapa gelap gelita segala?. Dengan secara spontan keluarlah airmata dan jeritan. Terperangkap saya dalam ruangan almari yang paling atas, cukup untuk saya berbaring sahaja pada ketika itu. Habis tenaga saya menjerit, menerajang dan menumbuk almari itu. Tetap begitu juga keadaan saya. Lama juga saya di situ 30 minit adanya. Nasib baik ianya disedari oleh abang saya, lalu dibantu oleh kakak yang lain, Cerah dunia saya kembali. Lega yang amat, airmata pun sudah kering kerana terlalu lama menangis. Nasib saya masih kurang baik, ketua batalion kami sedar akan apa yang terjadi. Encik Ishak yang juga pengetua sekolah menengah ketika itu terus dengan pantas mengeluarkan kata "Kau ingat engkau pendekar? Panjat sana sini? Pergi depan duduk diam-diam!" Melurulah saya bagai peluru ke depan sambil ditertawakan oleh abang saya.

Itu antara pengalaman yang masih saya ingat sampai ke hari ini. Setiap kali pulang ke rumah di Johor Bahru, jika disuruh ambil sesuatu di atas almari itu, pasti kenangan itu kembali, dan timbul rasa fobia. Almari itu kini telah tiada kerana telah rosak dimakan usia. Jadi hilanglah rasa takut itu. Rumahnya masih ada hingga ke hari ini. Encik Ishak dan isterinya juga masih kekal tetapi batalionnya tidak lengkap lagi kerana yang tinggal hanya kakak saya yang ke-3 Rafidah bersama suaminya si Chief Inspektor menemani kedua ibu bapa saya di situ. Batalion pengetua Ishak telah dibubarkan, diisi pula dengan koperal-koperal bawahan di ketuai oleh Chief Inspektor Saufi dan isterinya bersama anggota-anggota mereka yang seramai 6 orang. Semuanya setahun beza umur mereka. Si sulung baru di darjah 2, petah bercakap cina pula bersama adiknya yang kedua. Keduanya di hantar ke sekolah cina di Johor Bahru. Riuh rendahlah kem di Kg Dato' Onn itu. Seperti biasa ketua batalion dahulu Encik Ishak yang satu ketika sudah tidak ada lagi sifat bengisnya kerana anak-anaknya sudah melampaui remaja, dan umur Encik Ishak pun beredar sama, lama kelamaan sifat itu yang semakin pudar kini kembali menyinar. Pengetua Ishak Talib sudah kembali! Koperal-koperal bawahan Chief Inspektor lah yang menjadi sasaran!. Setiap kali anak saudara saya dimarahi, dan ketika itu saya melihat riak wajah Encik Ishak, saya akan ketawa sendirian, Wajah itulah yang melekat dibenak dan sudut fikiran dan pandangan saya suatu ketika dahulu. Kelamaan sifat itu timbul dalam diri saya. Saya seperti cuba membayangi kelibat pengetua Ishak Talib. Jadi dengan itu, saya antara pakcik-pakcik mereka yang ditakuti.

Di Johor Bahru ini sahaja ada 6 koperal-koperal tidak bertauliah, di gabungkan dengan yang di Kuala Lumpur semuanya ada 19 orang koperal. Memang bertambahlah batalion Encik Ishak sekeluarga. Saya juga merangkap penolong pengetua kepada pengetua Ishak Talib. Tanpa saya sedari, saya yang ketika dahulu pernah berdiri sama tinggi seperti mereka hari ini. Kini saya jauh lebih tinggi dari mereka, dan di bawah saya itulah adanya 19 orang anak saudara kesemuanya tanpa saya sedari. Pantas masa berlalu. Kesemua yang di atas saya, kini mempunyai waris mereka, yang tinggal hanya diri saya kini untuk mencari zuriat untuk menyambung keturunan dan warisan saya. Kesemuanya dalam perancangan. InsyaAllah, Allah itu maha agung!

Introduction

Tahunnya 1981, Lokasi di Taman Tasik Johor Bahru.


Seorang wanita sedang sibuk memasak menanti kepulangan suaminya dari kerja. Anak sulungnya Nuziah sedang sibuk mengemas kelengkapan untuk ke Kuala Lumpur keesokan harinya. Nuziah atau Nuzi panggilan pendeknya akan menyambung pelajarannya ke Institut Teknologi Mara (kini UiTM) di Shah Alam dalam jurusan Perhotelan & Pelancungan. Adik-adiknya yang lain ada di bawah menonton peti telivisyen. 4 orang kesemuanya dan keempat empatnya perempuan hendaknya. Hazelin, Rafidah, Bariah dan Hasifah Fauziah. Oh tertinggal yang seorang lagi yang paling bongsu, Yusof. Dia masih belum pulang dari sekolah. Biasanya akan pulang bersama si ayah pada petang hari.


Zahrah si ibu memanggil anak-anaknya ke meja makan. Dalam waktu begini, si suami akan pulang bersama anak bongsunya. Dalam masa menunggu kepulangan si suami. dia duduk berehat seketika sambil mengusap-usap perutnya yang membesar hanya menunggu masa seperti kata doktor untuk tiba masanya. Keluarga Zahrah dan Ishak akan menerima seorang lagi ahli keluarga yang baru. Ianya memang diluar jangkaan mereka. Bagi mereka 6 orang bakal peneraju negara yang mereka bimbing sudah cukup untuk keluarga mereka. (Alhamdulillah 6 orang yang dikatakan itu, kini berjaya dalam bidang masing-masing. Tidak seorang pon mengikut jejak mereka aktif dalam politik). Tapi tanpa diduga, mereka akan dikurniakan lagi seorang penyeri dalam teratak mereka. 7 tahun bezanya dari yang akhir ini dengan si abangnya Yusof. "Jadilah orang yang berguna bila kamu besar nanti dan ingat, jangan kamu berlaku tidak adil pada abang dan kakak-kakak kamu. Dan jangan sesekali kamu membuat yang tidak elok kepada orang lain. Biar kamu dibuat orang tetapi jangan sesekali kamu membuat orang". Sempat si ibu berbisik kepada si kecik dalam kandungannya. Lamunan Zahrah dihentikan dengan panggilan Lin, puterinya yang kedua mengajak si ibu untuk menyenduk nasi kerana si ayah dan si bongsu sudah pun balik.


Dalam pada masa si ibu cuba untuk bangun dari kerusinya, sesuatu yang dijangka berlaku pada dirinya. Dalam hatinya berkata, masanya telah tiba. Menjerit si ibu memanggil si suami dan anak-anak agar segera membawanya ke hospital. Kelam kabut seketika teratak Encik Ishak Talib melihat keadaan si ibu. Hidangan malam belum sempat di jamah, mereka sekeluarga bergegas ke Hospital Sultanah Aminah, berhadapan pantai lido. (Sehingga hari ni, hospital itu masih kelihatan seperti dulu, tidak banyak bezanya) Setibanya di sana, Zahrah disambut jururawat yang bertugas. Ishak dan anak-anak menunggu di luar dengan penuh sabar. Si sulung, Nuzi kelihatan paling gelisah. Esok dia harus ke Kuala Lumpur untuk mendaftar pengajiannya. Dia mahu ibunya selamat dari segala malapetaka. Serba salah jadinya untuk dia ke Kuala Lumpur esok. Mujur si ayah menenangkan anaknya yang sulung itu agar tidak di serabutkan benak fikirannya. Jarang melihat si ayah, Ishak Talib ini berlakuan begini pada anak nya. Anaknya yang 6 kesemuanya sudah jelas dengan perwatakan ayah mereka, rambutnya yang putih lebat, kemas disikat ke belakang, bermisai tebal, berkaca mata. Sekali pandang memang kecut perut melihat wajah bengis si ayah. (memang saya tidak nafikan, wajahnya memang bengis, bekas pegetua sekolah hendaknya. Tapi hatinya baik). Perwatakan si ayah memang tidak banyak bercakap, dia lebih banyak berdiam diri dari mengeluarkan kata-kata yang tidak perlu darinya. Biasanya di rumah, kalau hendak dengar suaranya. Beranikan saja diri membuat bende yang tidak elok. Bangunlah lewat pagi kalau hati itu dah sekeras batu. Jika tak ditengking oleh Encik Ishak memang ajaib lah gamaknya hari itu. Memang 6 beradik ini hormat dan dalam masa yang sama takut akan si ayah. Gelombang fikiran Nuzi dihentikan dengan kedatangan doktor. Ishak bertanya akan perkembangan isterinya. Doktor mengatakan si isteri tidak boleh melahirkan secara normal. Anaknya yang terakhir ini lain dari abang dan kakak-kakaknya. Elok sahaja yang sebelum ini lahir secara normal, yang ini lain pula caranya. Ishak terima cadangan doktor untuk dibedah. Lebih kurang 5 ke 6 jam si ibu bertarung di bilik bedah. Ishak dan Lin sahaja kelihatan menunggu di hopistal. Yang lain telah pon pulang ke rumah. Jam lebih kurang 2.50 pagi. Doktor keluar tenang dari bilik pembedahan. Ishak dan Hazelin terus ke hadapan doktor. Belum sempat mereka berkata, "Tahniah En.Ishak, isteri awak selamat melahirkan seorang bayi lelaki." si doktor lebih dahulu memulakan kata. Lega kepalang si ayah dan si anak dengan khabaran dari doktor. Jam di tangan 2.52 pagi, 6 Julai 1981. Lahir anaknya yang ke-7, putera yang ke-2 dalam keluarga. Ibrahim Khalil Bin Ishak diberi nama sempena nama pejuang yang unggul pada masa lampau.


Begitulah hendaknya cerita yang saya ingat seperti di ceritakan oleh mak. Katanya dia memang sudah tidak terfikir hendakkan zuriat pada ketika itu. Tup Tap! Membesar perutnya membawa saya. Balas saya, Ayahlah yang patut dipertanggungjawabkan. Tapi takdirnya saya tiba di bumi Johor. Taman Tasik Johor Bahru. Alhamdulillah saya lahir sempurna sifatnya, tiada cacat cela pada fizikalnya. Bermula episod baru dalam keluarga Ishak dan Zahrah yang kekal selama 6 tahun bersama saya di rumah Taman Tasik itu.......................