Saturday, May 5, 2007

Kampung Koji


Kampung Koji kini dalam keadaan huru-hara. Mereka baru sahaja kehilangan ketua kampung mereka. Sebabnya tidak pula saya ketahui. Penduduk sekampung bertekad mencari penggantinya. Pendapat mereka berpecah kepada dua. Puak yang ini mahukan Pak Hitam sebagai ketua kampung . Puak yang lain mahukan Dol Lida menjadi ketua kampung. Bermacam rentak kaki kuda diatur agar tidak kehilangan rentak atau sebagai cara menyerang. Al-maklumlah orang kampung, kaya dengan seni mempertahankan diri. Dalam pada riuh rendah akan Kampung Koji ini. Kisah yang satu ini menarik minat saya. Jika satu kampung sudah riuh rendah, gempak gempita. Maka terdengarlah akan kampung sebelah. Jadi dihantarlah seorang wakil untuk membuat liputan bersama-sama dengan batalionnya. Apa yang terjadi akan diwar-warkan kepada ketua kampung sebelah. Dalam masa diwar-warkan, datang akan orang suruhan Pak Hitam, memberi salam selamat datang. Disahut akan wakil ini dengan senyum meleret. Terasa akan tangannya seperti bergesel dengan sesuatu yang keras. Dalam hatinya, keras betuk tapak tangan orang suruhan Pak Hitam ini. Dilihat tapak tangannya, ada sampul surat dilipat kemas. Seperti kanak-kanak mendapat gula, dengan pantas dibuka akan wakil itu, dan terlihatlah dia akan tiket percutian ke luar negara (tempat terpaksa dirahsiakan atas sebab-sebab keselamatan). Dalam hati si wakil ini. "Ini tidak boleh diwar-warkan, bahaya, biarlah aku seorang sahaja yang pergi bercuti. Boleh aku membawa Tijah bersama, Ah seronoknya."


Maka disambung lagi akan liputannya di Kampung Koji ini. Datang lagi orang suruhan Pak Hitam yang lain. Tetapi kali ini si wakil ini yang menghulur salaman. Di terima baik akan orang suruhan itu. "Eh keras juga akan tapak tangan orang suruhan ini" berkata di dalam hati akan si wakil ini. Dilihatnya lagi, "Waduh jutaan rupiah gue dapat, lumayan-lumayan". bisik hatinya. Lalu si wakil ini pergi pula ke kawanan Dol Lida, memikirkan tapak tangan mereka juga akan keras seperti tapak tangan orang suruhan Pak Hitam. Tibanya di sana, sedang riuh dengan ceramah oleh orang kuat puak Dol Lida ini. Jadi dengarlah akan si wakil ini. Isi ceramah itu seperti memukul-mukul akan hati si wakil ini. Seperti ada benarnya akan kata si penceramah ini. Tetapi memikirkan poket seluarnya sudah kembung, buat tidak tahu sahajalah. Wakil ini berpatah balik ke kawanan Pak Hitam kerana tiada siapa yang menghulur salam kepadanya ketika di kawanan Dol Lida.


Gambaran saya tiba-tiba samar melihat perkampungan Kampung Koji ini. Saya gosok akan mata ini, dilihat kembali, terlihat akan saya kipas di atas saya berputar laju, tetapi badan saya berpeluh kepanasan.


"Mamak! Peliklah mimpi aku semalam, cuba kau tafsirkan!"

No comments: