Saturday, May 5, 2007

Dato' Onn

1987, Lokasi Jalan Sentosa, Kg Dato' Onn

Setelah 6 tahun di Taman Tasik, Ishak dan batalionnya berpindah semula ke tempat yang sebelum ini mereka diami. Rumah peninggalan arwah nenek, Tok Cha. Saya tidak sempat untuk kenal arwah Tok Cha lebih lama, kerana seingat saya mungkin dalam lingkungan umur 5 tahun dia telah menyambut panggilan Ilahi. Rumah yang kami berpindah semula ini berhadapan dengan rumah lagenda pejuang tanah melayu, Arwahyarham Dato' Onn Jaafar. Tempat tinggal ini dinamakan sempena namanya, dan sepengetahuan saya, Kampung ini dibuka sama tahunnya dengan hari kemerdekaan tanah melayu 1957. Rumah arwah masih tersergam di situ yang kini di jaga oleh menantunya, yang kami panggil dengan gelaran Cik Pet. Suaminya Tahir Onn juga anak bongsu kepada arwah Dato' Onn juga pulang mengadap Ilahi pada tahun lepas jika tidak silap saya.

Berbalik kepada teratak Ishak dan batalionnya. Ianya telah diubah suai oleh siapa, tidak teringat akan siapa, mungkin oleh abang- abang ibu saya, yang saya ingat ketika itu, mereka orang yang berada berbanding ibu. Ketika proses membangunkan batu bata yang baru di rumah ini. Kami sebatalion pernah singgah melihat perkembangannya. Di sinilah pengalaman yang sangat menakutkan pernah terjadi pada diri saya. Saya masih ingat ianya berlaku di bilik yang paling belakang kawasan rumah, bersebelahan dengan dapur. (kini didiami oleh Bibik - pembantu rumah kakak saya). Pada ketika itu saya sudah cukup merasakan yang bilik ini cukup besar keluasannya kalau dibandingkan dengan sekarang memanglah kecil, cukup untuk seorang menghuninya. Di bilik itu ditempatkan satu almari putih yang ketika itu saya rasakan seperti bangunan 3 tingkat tingginya, maklumlah ada tiga ruangan, dari bawah ke atas. Namanya pun kanak-kanak ketika itu, segala benda dan tempat yang boleh dipanjat, selagi itu akan dicuba. Jadi saya tanpa segan silu mengikut naluri budak-budak memulakan panjatan. Panjatan pertama, berjaya kedua juga berjaya. Tetapi apabila mengangkat kaki untuk panjatan ketiga, sesuatu yang tidak pernah terjadi pada hidup saya, terjadi pada ketika itu. Almari itu tumbang sambil membawa saya bersama mencium lantai. Nasib baik tidak ada apa-apa yang berlaku kepada saya. Tetapi lain pula saya rasakan pada ketika itu. Mengapa dunia saya gelap gelita, seingat saya kami tiba pada siang hari, mengapa gelap gelita segala?. Dengan secara spontan keluarlah airmata dan jeritan. Terperangkap saya dalam ruangan almari yang paling atas, cukup untuk saya berbaring sahaja pada ketika itu. Habis tenaga saya menjerit, menerajang dan menumbuk almari itu. Tetap begitu juga keadaan saya. Lama juga saya di situ 30 minit adanya. Nasib baik ianya disedari oleh abang saya, lalu dibantu oleh kakak yang lain, Cerah dunia saya kembali. Lega yang amat, airmata pun sudah kering kerana terlalu lama menangis. Nasib saya masih kurang baik, ketua batalion kami sedar akan apa yang terjadi. Encik Ishak yang juga pengetua sekolah menengah ketika itu terus dengan pantas mengeluarkan kata "Kau ingat engkau pendekar? Panjat sana sini? Pergi depan duduk diam-diam!" Melurulah saya bagai peluru ke depan sambil ditertawakan oleh abang saya.

Itu antara pengalaman yang masih saya ingat sampai ke hari ini. Setiap kali pulang ke rumah di Johor Bahru, jika disuruh ambil sesuatu di atas almari itu, pasti kenangan itu kembali, dan timbul rasa fobia. Almari itu kini telah tiada kerana telah rosak dimakan usia. Jadi hilanglah rasa takut itu. Rumahnya masih ada hingga ke hari ini. Encik Ishak dan isterinya juga masih kekal tetapi batalionnya tidak lengkap lagi kerana yang tinggal hanya kakak saya yang ke-3 Rafidah bersama suaminya si Chief Inspektor menemani kedua ibu bapa saya di situ. Batalion pengetua Ishak telah dibubarkan, diisi pula dengan koperal-koperal bawahan di ketuai oleh Chief Inspektor Saufi dan isterinya bersama anggota-anggota mereka yang seramai 6 orang. Semuanya setahun beza umur mereka. Si sulung baru di darjah 2, petah bercakap cina pula bersama adiknya yang kedua. Keduanya di hantar ke sekolah cina di Johor Bahru. Riuh rendahlah kem di Kg Dato' Onn itu. Seperti biasa ketua batalion dahulu Encik Ishak yang satu ketika sudah tidak ada lagi sifat bengisnya kerana anak-anaknya sudah melampaui remaja, dan umur Encik Ishak pun beredar sama, lama kelamaan sifat itu yang semakin pudar kini kembali menyinar. Pengetua Ishak Talib sudah kembali! Koperal-koperal bawahan Chief Inspektor lah yang menjadi sasaran!. Setiap kali anak saudara saya dimarahi, dan ketika itu saya melihat riak wajah Encik Ishak, saya akan ketawa sendirian, Wajah itulah yang melekat dibenak dan sudut fikiran dan pandangan saya suatu ketika dahulu. Kelamaan sifat itu timbul dalam diri saya. Saya seperti cuba membayangi kelibat pengetua Ishak Talib. Jadi dengan itu, saya antara pakcik-pakcik mereka yang ditakuti.

Di Johor Bahru ini sahaja ada 6 koperal-koperal tidak bertauliah, di gabungkan dengan yang di Kuala Lumpur semuanya ada 19 orang koperal. Memang bertambahlah batalion Encik Ishak sekeluarga. Saya juga merangkap penolong pengetua kepada pengetua Ishak Talib. Tanpa saya sedari, saya yang ketika dahulu pernah berdiri sama tinggi seperti mereka hari ini. Kini saya jauh lebih tinggi dari mereka, dan di bawah saya itulah adanya 19 orang anak saudara kesemuanya tanpa saya sedari. Pantas masa berlalu. Kesemua yang di atas saya, kini mempunyai waris mereka, yang tinggal hanya diri saya kini untuk mencari zuriat untuk menyambung keturunan dan warisan saya. Kesemuanya dalam perancangan. InsyaAllah, Allah itu maha agung!

No comments: